Riwayat Haji Abdullah Hukum

Haji Abdullah Hukum telah tinggal lama di Tanah Melayu dan hidup di dua zaman yang berlainan iaitu lebih dua dekad hidup di zaman "keris dan pemuras" di bawah pemerintahan kerajaan Melayu dan lebih enam dekad selanjutnya di bawah pemerintahan kolonial British.

Di sepanjang zaman tersebut beliau telah terlibat dalam berbagai-bagai kegiatan untuk mencari rezeki. Mula-mulanya beliau bekerja dengan Sutan Puasa, mengambil upah membuat tali air di Segambut (Batu Lima di Setapak) dan selepas itu melampan di Setapak selama beberapa tahun. Tidak lama selepas itu ia menjadi petani dan kontraktor membina batas untuk Raja Bilah.

Haji Abdullah Hukum juga pernah menjadi juak-juak kepada Raja Mahmud bin Tengku Panglima Raja, seorang pembesar Selangor. Belia turut memainkan peranan dan terlibat dalam beberapa peperangan di Selangor sehingga 1870-an.

Selain itu beliau pernah menjadi peniaga kain di Semenyih, membuka tanah dan perkampungan di Pudu dengan perkenan Raja Laut yang ketika itu menjadi Raja Muda Selangor. Haji Abdullah Hukum di¬angkat menjadi Penghulu Masjid di Pudu oleh Raja Laut. Beliau juga pernah menjadi nakhoda mengambil upah membawa beras dari Kelang ke Kuala Lumpur dengan perahu dan membeli kerbau dari Pahang dan Dungun di Terengganu untuk diniagakan di Kuala Lumpur. Selain itu, beliau juga mendapat kebenaran membuka kebun di Bukit Nenas dan membuka kawasan perkampungan Sungai Putih, iaitu di Jalan Bangsar kini. Akhirnya beliau menetap di Sungai Putih, iaitu di kampung yang kini dikenali sebagai Kampung Haji Abdullah Hukum. Beliau telah dilantik oleh Sultan Sir Abdul Samad (1857-1898) sebagai salah seorang ketua masyarakat di Kuala Lumpur dengan gelaran Tuk Dagang Dianjuk. Apabila umurnya meningkat hampir 80 tahun (1912) beliau memohon bersara dari jawatan ketua itu dan mendapat pencen daripada kerajaan.

Haji Abdullah Hukum mempunyai seorang anak lelaki beliau adalah Haji Mahmood saudagar kain yang kaya pada zaman sebelum jepun menduduki Tanah Melayu. Pada tahun 1930-40an Haji Mahmood mempunyai dua anak lelaki iaitu Hashim dan Rahim. Dipercayai Haji Abdullah Hukum amat sayang kepada dua orang cucu lelaki nya. Mengikut sejarah masyarakat setempat di Kajang Haji Mahmood adalah seorang Melayu kaya yang pemurah, beliau suka menderma dan memberi makanan kepada penduduk fakir dan seluruh penduduk Kajang, bak kata orang Minangkabau " Haji Mahmood berantai baik nya "